PRESTASI MALAYSIA DI SEA GAMES 2019 – HENDAK SERIBU DAYA, TAK NAK SERIBU DALIH
1. Terima kasih saya ucapkan kepada pasukan negara yang mencuba sehabis baik di SEA GAMES 2019, Filipina. Tahniah kepada yang menang pingat, yang gagal boleh cuba lagi. Menang dengan rasa rendah diri, kalah dengan rasa besar hati. Yang penting para atlet Malaysia SELAMAT pergi dan pulang ke tanah air tanpa sebarang kecederaan berat pada fizikal mahupun mental. Apabila tiba ke Malaysia, berehatlah dan lakukan ‘post-mortem’ seberapa segera bersama-sama jurulatih dan pegawai persatuan setiap badan sukan di Malaysia. Langkah seterusnya adalah perlu dalam merancang dan menetapkan matlamat untuk kejohanan seterusnya.
2. Kesimpulan yang dapat diberikan adalah Malaysia telah GAGAL di SEA GAMES 2019. Malaysia mensasarkan 70 pingat emas di SEA GAMES 2019 di Manila. Sasaran yang disasarkan ini GAGAL dipenuhi oleh pasukan Malaysia walaupun dikhabarkan 70 adalah angka selamat untuk meraih emas, berdasarkan perbincangan sukan dengan CDM, MSN, MOM boleh capai pingat emas lebih lagi.
3. Untuk pengetahuan semua, pencapaian kali ini adalah yang TERBURUK dalam sejarah penyertaan Malaysia ke SEA GAMES di luar negara lebih-lebih lagi apabila Malaysia membawa kontijen kedua terbesar di luar negara dengan penyertaan 773 atlet dan 396 pegawai persatuan / MSN / KBS yang membabitkan 54 daripada 56 acara dipertandingkan. Seramai 396 atlet adalah muka baharu yang bertanding pada temasya dwitahunan tersebut.
4. SEA GAMES 2019 adalah medan mencipta kejuaraan bukan medan uji menguji mendapatkan pengalaman – itu boleh dilakukan di kejohanan-kejohanan di Malaysia atau sirkit-sirkit antarabangsa yang lain (mengikut sukan) kecualilah jika kita menganjurkan SEA GAMES di Malaysia seperti mana pada KL2017.
5. Perbelajaan pengurusan pasukan Malaysia ke SEA GAMES 2019 di Filipina bukan murah dan menggunakan wang rakyat, maka dengan persembahan prestasi sebegini maka sudah tentulah ada BANYAK sebabnya mengapa KEGAGALAN ini terjadi dan rakyat MALAYSIA perlu tahu.
6. Pihak MOM telah memilih CDM Malaysia (D Megat Zulkarnain) ke SEA GAMES 2019. Pemilihan CDM berasaskan kepada kreteria apa tidak saya ketahui. Namun MOM melalui Presidennya (DS Norza Zakaria) bersungguh-sungguh melantik CDM ini ke SEA GAMES 2019. Pelantikan ini nampak direstui oleh MSN dan Menteri KBS. Namun hakikatnya, if you fail to plan, you plan to fail. CDM ini telah GAGAL SEGAGALNYA di SEA GAMES 2019.
7. Antara isu-isu hangat di SEA GAMES 2019 yang melibatkan Malaysia adalah kegagalan pasukan bolasepak Malaysia beraksi dengan baik apabila ‘bungkus’ dengan Filipina (0-1) dan Kemboja (1-3), isu bendera Malaysia, atlet Malaysia teruk di belasah oleh atlet Filipina dan kalah dalam sukan Tanding, atlet-atlet sukan yang elit tetapi bila beraksi seumpama amateur, isu pingat emas sukan gimnastik dan lain-lain yang boleh kita dapat maklumat di internet. Seharusnya isu-isu ini ditangani dengan semangat kesukanan yang tinggi dan penyelesaian diperlukan agar tidak berulang lagi di masa hadapan. Usahlah menyalahkan atlet kerana para atlet Malaysia sudah berusaha gigih untuk meraih kejayaan tetapi pelbagai faktor boleh dikupas untuk mencari faktor-faktor yang menyumbang kegagalan ini.
8. CDM optimis akan mencapai sasaran tersebut sebelum SEA GAMES 2019 bermula di Filipina. Nampaknya optimis sahaja tidak cukup, pengetahuan mendalam mengenai SWOT analisis, pengurusan dan penetapan matlamat amat penting dalam mensasarkan jumlah keseluruhan pingat emas.
9. Selain itu juga, CDM tidak buat kerja rumah ‘homework’ dalam mengenal kekuatan dan kelemahan setiap pasukan yang dihantar ke Filipina termasuklah seteru utama dalam setiap acara yang melibakan atlet Malaysia, CDM dilihat lebih banyak memberi alasan kegagalan dan menyalahkan pihak yang lain dalam sesuatu isu, sepatutnya CDM telah mempunyai maklumat yang cukup dalam setiap sukan yang dipertandingkan dalam memastikan sasaran dipenuhi dengan jayanya. CDM lebih kelihatan selaku orang politik apabila cuba menjadi hero dalam setiap isu atau masalah yang timbul di Filipina yang melibatkan pasukan Malaysia.
10. Pihak KBS perlu meneliti perkara-perkara ini kerana jelas CDM yang dilantik gagal melaksanakan tugasnya dengan berkesan. Sepatutnya CDM sudah mempunyai framework kejayaan pasukan Malaysia iaitu sebelum, semasa dan selepas SEA GAMES 2019. Lebih-lebih lagi Malaysia adalah juara keseluruhan semasa KL 2017. Sekiranya tidak menjadi juara keseluruhan di Filipina, seharusnya Malaysia bersaing bersama-sama Thailand dan Indonesia dari segi jumlah pungutan pingat emas. Ketika ini, sekiranya Malaysia dapat melebihi Singapura sudah kira bernasib baik.
11. Jika kita lihat secara teliti faktor-faktor lain yang menyumbang kepada kegagalan ini adalah jelas berkaitan PENGURUSAN SUKAN. Antaranya adalah MSN gagal mengenal-pasti atlet-atlet yang berpotensi menang di SEA GAMES 2019, tiada kaedah pelaksanaan merit kepada atlet-atlet yang cemerlang dari masa ke semasa, tiada kaedah monitoring performance para atlet yang menjadi prospek pingat sejak 1-2 tahun lepas, pelan periodisasi (periodization) yang tepat untuk setiap sukan / atlet dan lain-lain lagi.
12. Di samping itu juga, paling ketara adalah ketandusan tokoh dari MOM untuk mengenalpasti CDM yang mempunyai potensi untuk tidak gagal memicu pasukan Malaysia ke SEA GAMES. Seharusnya CDM yang dipilih perlu mempunyai ilmu pengurusan sukan tahap tinggi untuk mencapai sasaran pingat, mempunyai strategi mengatasi taktik-taktik tuan rumah yang boleh mengganggu persiapan atlet sebelum turun ke gelanggang, mempunyai penilaian yang tajam dalam memastikan atlet Malaysia selesa bertanding seolah-olah bertanding di gelanggang sendiri. Seharusnya dengan jumlah penyertaan atlet Malaysia yang amat besar di hantar ke Filipina CDM mempunyai keyakinan untuk mencapai kejayaan misi sasaran 70 pingat emas.
13. Semoga SEA Games 2019 memberi PENGAJARAN yang cukup berharga kepada KBS dalam menilai kembali SOP gerak kerja dan penilaian yang berkaitan MOM, MSN, persatuan-persatuan sukan terlibat dan para pegawai yang dipilih ke temasya terbesar di Asia Tenggara ini.
14. Seharusnya persatuan-persatuan sukan sudah tidak lagi bergantung kepada KBS untuk membangunkan sukan masing-masing, sekiranya badan pengurusan sukan gagal maka kepimpinan persatuan perlu diganti dengan belia-belia yang mempunyai kelayakan dan sijil berkaitan. Sudah tiba masanya persatuan sukan tidak hanya bergantung kepada geran dan dana KBS. Kebanyakan pimpinan sukan yang menjadikan sukan sebagai medium politik mereka seharusnya ditukar.
15. Menteri KBS mempunyai kuasa untuk menjadikan sukan di Malaysia sebagai medium yang dapat menyatukan bangsa Malaysia. Namun sekiranya pembangunan sukan di akar umbi ditidakkan dan persatuan masih mempunyai sikap tunggu subsidi kerajaan, maka seharusnya persatuan yang lain yang aktif mempunyai merit untuk menggantikan persatuan yang gagal membangunkan sukan. Bak kata pepatah .. hendak seribu daya, tak nak seribu dalih.
GM DR MOHAMAD NIZAM MOHAMED SHAPIE
PhD in Sports Coaching (Cardiff Metropolitan University, United Kingdom)
Grandmaster in Silat (9th DAN, Seni Gayung Fatani Malaysia Association)
Board Members, International Martial Arts & Combat Sports Scientific Society (IMACSSS)